Monday 14 October 2013

BICARA - Islam itu Ada Di Mana Mana



Islam merupakan satu satunya agama yang diredhai Allah. Maka, mana mana agama, ideologi, kumpulan mahupun doktrin yang jelas bertentangan dengan syariat yang dibawa Nabi Muhammad saw adalah tertolak dan sesat. 


Perkara ini sejajar dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat ke 19

“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab, kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian yang ada di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisabnya.”

Kehadiran Islam yang dibawa oleh Baginda merupakan satu rahmat. Ketika dunia satu ketika dahulu diselimuti kejahilan, Islam datang memberi pencerahan. Maka, Islam datang dengan mengajarkan segala galanya dan Rasulullah itulah ikutan utama. 

Segala aspek kehidupan ditunjuk ajar, setiap hak sesama Pencipta dan makhluk diperhalusi, semua yang diperbolehkan dan dilarang diberitahu dan pelbagai lagi perkara semuanya diperbetulkan agar bersesuaian dengan agama yang kita percayai.


Namun begitu, ada sahaja orang yang menganggap Islam itu hanya sekadar ibadah dan tidak lebih daripada itu. 

Islam itu untuk ukhrawi dan tiada kena mengena dengan duniawi!

Sejak bila pula bersukan kena ikut Islam?

Jangan keliru. Islam tetap Islam, politik tetap politik. Mana boleh sama

Beginilah tanggapan yang salah. Hanya menyangka Islam hanya di masjid dan sekadar ibadah. Kita kena faham bahawa Islam datang membawa rahmat. Nabi Muhammad diutuskan kepada segenap umat juga sebagai rahmat. Dan rahmat itu tidak terhenti pada ibadah sahaja. 

Jika benarlah islam itu pada ibadah semata, jadi bagaimana dengan perkara lain? 

Mana panduannya? Nak ikut cara siapa? 

Yang mana satu yang betul? Cara apa yang menyeleweng?


Sebagai muslim, persoalan sebegini patut kita cakna. Betulkah kita perlu risau dengan persoalan di atas? Jawapannya semestinya tidak! 

Islam datang untuk memperbetulkan segalanya. Dari A hingga Z. Terbit fajar hinggalah malam menjelma. Ketika hidup sehinggalah mati menjengah. Maka kita tidak peru risau kerana segalanya sudah diajar untuk dipelajari. Lalu ia perlu diterjemahkan sebagai amali bukan sekadar teori.                                                                                                                                           

Setakat ini sahaja artikel ini. Sekadar mukadimah untuk kali ini. Nantikan sambungannya dalam artikel yang akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.