Thursday 7 June 2012

ERTI - Berdiri Atas Bakat Sendiri





Masing masing memiliki bakat mereka sendiri. Bersyukurlah kerana ia merupakan salah satu daripada anugerah dan nikmat daripada Ilahi. Bakat manusia tidak semuanya sama dan serupa. Masing masing ada bakat yang berbeza. Ada yang hebat melukis, pandai menyanyi, bijak berkata kata, cerdik berfikir dan sebagainya.

Hakikatnya, kita semua memiliki bakat. Tidak percaya? Cuba lihat dan tanya diri kita. Akal, tangan, mata, kaki dan anggota lain manakah kelebihan dan bakat kita? Jawapannya pasti ada! Mungkin satu, dua atau lebih lagi. Betapa pemurahnya Allah terhadap hambanya.

Namun begitu, masih ada juga yang bersikap kufur nikmat terhadap bakat yang dipinjamkan. Bakat yang dimiliki digunakan tidak berpaksikan di landasan kebenaran. Misalnya, hebat melukis tetapi melukis lukisan yang mensyirikkan Allah ata menghina Islam dan umatnya. Pandai menyanyi tetapi menyanyi lagu lagu yang melalaikan. 

Ada juga yang petah dan fasih berkata kata namun perkara yang batil dipromosikan dan malangnya perkara yang hak dan benar disembunyikan.

Begitulah antara contoh bakat yang disalah guna. Ingatlah, segala bakat yang kita perolehi bukan hak milik tetap kita. Dalam erti kata lain, ia cuma pinjaman yang bersifat sementara. Bila bila waktu sahaja Allah berhak 'mengambilnya' semula dalam sekelip mata. Tiada yang mustahil bagi Allah untuk melakukannya.

Insaflah!... 

Berbekalkan bakat yang kita miliki, aplikasikanlah ia dengan sebaik baiknya. Marilah kita bersama melabur bakat kita pada jalan Allah. Sesungguhnya, jalan Allah itu amatlah luas.

Tunggu apa lagi? Kenali potensi diri agar kita mampu tegak berdiri di atas bakat sendiri.
Berpaksikan nama Islam!