Saturday 21 July 2012

HAMBA - Malu Tapi Mahu









Perubahan?


Pasti kita inginkan perubahan. Berubah ke arah satu sudut yang lebih baik. Mungkin dengan paksi 360 darjah. Cukup berbeza dengan kehidupan kita yang lama.


Mengamalkan ibadat fardu dan sunat, menolong orang lain, bersedekah dengan istiqamah, beramal jariah dan pelbagai lagi bentuk kebaikan. Masalahnya, hajat kita gagal disempurnakan seperti yang diimpikan dalam lukisan angan angan. Kita tidak mampu kerana diperangkap 'jerat' malu.


Malu yang dimaksudkan ialah malu kepada manusia seperti ibu bapa, keluarga, sahabat, rakan dan masyarakat. Ingin menolong seorang pak cik melintas jalan tetapi malu akan disenda rakan rakan. Ingin memakai serban dan jubah tetapi malu akan diketawakan keluarga atau ibu bapa.


Inilah ombak yang sering melanda 'pantai' diri ketika diri cuba  mengadaptasi satu perubahan dan revolusi yang baru. Malu pula bertindak seakan batu penghalang yang cuba menghancurkan segala perancangan. Jahat.


Kepada mereka yang inginkan perubahan dan revolusi dalam diri, tahniah dan bersyukurlah. Allah telah membuka pintu hati anda menerima hidayahnya. 


Fikirlah...


Jika perubahan kita berlandaskan agama dengan syarak, maka teruskan mara. Jika perbuatan kita bertepatan dengan ajaran Rasulullah, maka teruskan langkah. Mengapa mesti malu? 


Pedulikan segala tohmahan, hinaan dan cercaan. Kerana jalan kita adalah jalan Allah. Jadi mengapa perlu mengalah? Teruskan langkah!


Semoga kita dapat mengikis sifat malu, seterusnya melakukan segala kebaikan yang kita mahu.