Sunday 8 April 2012

JOM! - 1 Hari, 1 Muka Surat







Apa yang kita rasa bila satu hari tidak melayari intenet? Mungkin kita rasa tidak sedap hati atau rasa tersangat rugi. Apa pula kita rasa bila satu hari tidak menonton televisyen atau membaca surat khabar? Mungkin kita akan merajuk sebab terlepas menonton drama atau, rasa menyesal sebab tidak tahu perkembangan dunia terkini. Inilah kelazimannya situasi yang dialami apabila kita tidak dapat melakukan perkara yang kita minat dan suka dalam masa sehari.


Namun begitu, bilakah kali terakhir kita membaca Al Quran? Adakah hanya sebulan dalam setahun iaitu di dalam bulan Ramadhan sahaja? Mungkin seminggu sekali, atau mungkin juga hanya setahun sekali. Berapa lamakah pula masa yang telah kita peruntukan untuk menelaah Al Quran? Mungkin jika dikaji semula, jawapannya tiada masa. Kenyataan ini pasti pahit untuk diterima tetapi inilah realitinya.


Bila sehari berjauhan daripada Al Quran, apa yang kita rasa? Biasa sahaja? Jika rasa ini yang kita alami, dinasihatkan agar muhasabahlah diri kita semula. Sesungguhnya Al Quran adalah kalamullah yang mengandungi pengajaran, hukum hakam, perumpamaan, janji janji Allah, suruhan, larangan dan sebagainya. 


Ingatlah kembali wahyu pertama yang pertama diturunkan di dalam Al Quran. Pesannya, Iqra'. Maksudnya bacalah. Jadi sukarkah untuk kita meluangkan sedikit masa untuk membaca? Mari bersama kita muhasabah diri kita dan kita perbaiki sedaya upaya agar kita menjadi umat Islam yang lebih baik.