Tuesday 3 January 2012

BICARA : Hijau - Kebetulan atau Penghinaan?



" Jom ikut abang pergi kedai ", tanya Zaki sambil menoleh ke arah adiknya.

" Nak ikut!, Sofia menyatakan persetujuannya




" Adik suka warna apa? ", tiba tiba sahaja soalan itu terkeluar dari mulutnya.

" Warna biru. Biru melambangkan ketenangan, macam air laut ", jawab Sofia tenang. Sofia berasa hairan. Tiba tiba sahaja soalan itu diajukan. 

" Abang pulak suka warna apa? ", Sofia pula mengajukan soalan yang sama. Cuba mengikut rentak abangnya.

" Hmm...warna sama dengan warna kesukaan ummi ", Zaki cuba menguji adiknya. Sengaja memaksa Sofia berfikir. 

Sofia berfikir sejenak. " Ha! warna hijau kan! " Zaki sekadar mengangguk. 

" Tapi kenapa? ", sofia seakan tidak berpuas hati dengan jawapan abangnya. Dia mahukan jawapan yang benar benar tepat.

" Warna hijau warna yang segar dan damai. Lebih kurang macam warna biru, tapi warna hijau lagi istimewa ", Zaki masih berteka teki. Dia suka melihat gelagat adiknya yang tertanya tanya.

" Istimewa? Adik tak faham lah ", Sofia mencebik. " Cakaplah betul betul ", Sofia seakan memaksa.

" Istimewa sebab ada tiga perkara. Yang pertama sebab hijau warna kesukaan ibu. Yang kedua sebab abang minat pasukan Brazil. Baju Brazil kan warna hijau ", Zaki menjelaskan satu persatu.

" Yang ketiga sebab apa abang? ", perasaan ingin tahu Sofia sukar disembunyikan. Hatinya membuak buak menantikan jawapan abangnya.

" Yang ketiga sebab abang dengar warna hijau warna kesukaan nabi ", lanjut Zaki lagi

" Tapi adik takutlah dengan warna hijau. Sebab Hulk kan warna hijau. Ganas dan menakutkan ", Sofia tiba tiba mencelah.




" Abang pun perasan semua itu tapi mungkin juga kebetulan. Dan mungkin juga satu penghinaan ", wajah Zaki menampakkan kerutan di dahinya.

" Apa maksud abang? ", Sofia inginkan kepastian. 

" Cuba tengok kartun Danny Phantom. Hantu hantu kan warna hijau. Benda benda menakutkan pun banyak yang warna hijau. Macam Hulk dan benda benda yang berlendir ", ujar Zaki lagak berhujah.




" Yelah, adik pun ada perasan. Cuba abang main game angry birds. Benda yang kita kena serang adalah khinzir dan... "

" ... khinzir tu warna hijau! ", Zaki tiba tiba mencelah. Dia sudah dapat agak apa yang ingin Sofia katakan. Satu keluhan berat diluahkan Zaki. Otaknya ligat berfikir.




" Abang rasa orang banyak buat macam ini sebab nak suruh kita anggap warna hijau warna yang jahat. Warna yang tidak baik ", Zaki membuat andaian

Sofia sekadar mengangguk. Bersetuju dengan pendapat abangnya.

" Mungkin ini satu kebetulan. Dan mungkin ini juga satu penghinaan ", Zaki membuat kesimpulan.

Suasana kembali sunyi. Masing masing membisu, mengunci bicara. Mengerah otak untuk mendapatkan satu jawapan yang wajar dan realistik. 

Marilah kita pula bersama sama mencari jawapan !

Monday 2 January 2012

Ciri Ciri Orang Munafik


Sabda Nabi SAW mafhumnya, " tanda tanda orang munafik ada tiga. Apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah dia khianati ". Mungkin perlakuan ini dipandang remeh, tapi inilah hakikatnya. Ini adalah tiga ciri ciri orang munafik.


Berkata tapi berdusta








Bak kata iklan Maggi, soal hati lidah boleh menipu. Tapi soal rasa, lidah tak boleh menipu. Persoalannya kenapa kita nak menipu? Sedangkan menipu orang lain sama sahaja seperti menipu diri sendiri. Kita tahu akan kebenarannya tapi kita cuba menyembunyikannya. Pelik bukan, tapi inilah realitinya.


Menipu kadangkala dipengaruhi oleh situasi, keadaan dan orang sekeliling. Kita menipu kerana kita takut atau malu. Takut atau malu untuk mengaku kesalahan setelah melakukannya.
Walau bagaimanapun elakkanlah diri daripada menipu. Permulaannya menipu kemudian macam macam boleh berlaku. 


Pantun orang melayu ada menyebut, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama lama mencuri. Bukan setakat itu saja, menipu juga boleh menimbulkan macam macam lagi. Antaranya pergaduhan, permusuhan dan banyak lagi perkara yang tidak diingini. Saya teringat satu pepatah Arab, berkatalah benar walaupun pahit. Di sebalik pahit tersebut mungkin ada madu yang tersembunyi


Berjanji tapi mungkiri,








" Apa guna berjanji...kalau tak ditepati...kelak meracun hati...tuan sendiri menggigit jari " Teringat saya lagu nyanyian Saloma. Berjanji memang mudah. Tapi dalam bab menepati janji, ia tak semudah kita berjanji. Mudahnya berjanji, sukarnya menepati.Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 1: " Wahai orang orang yang beriman, penuhilah aqad aqad itu "


Aqad atau perjanjian itu mencakupi janji hamba kepada tuhannya dan janji sesama manusia. Menepati janji adalah akhlak yang mulia. Jadi tidak hairanlah ia merupakan akhlak para nabi. Di dalam surah Maryam ayat 54 Allah berfirman : " Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam Al Quran ". Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.


Berhati hati dalam menabur janji. Elakkan berjanji kalau tidak yakin mampu ditepati. Latihlah diri untuk tidak kekok menyebut InsyaAllah. Yang bermaksud dengan keizinan Allah. Segala galanya tertakluk di bawah kekuasaan Allah. Jika kita merancang, Allah juga merancang. dan Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba hambanya.


Diberi amanah tapi dikhianati,








Amanah merupakan satu tanggungjawab. Memikulnya pula merupakan satu perkara yang mudah. Ia bukan perkara yang boleh dibuat acuh tak acuh. Endah tak endah dan dipandang enteng. Kita akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak tentang amanah yang diberi.


Sejak kita lahir lagi, kita telah memikul satu amanah yang berat sehingga dalam Al Quran diceritakan bahawa langit, bumi dan gunung ganang tidak sanggup untuk memikulnya kerana khuatir akan mengkhianatinya. Lalu amanah ini dipikul oleh manusia. Amanah Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Mengerjakan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang ditegah.


Tunaikanlah amanah yang diberi sebaik mungkin. Kita perlu yakin yang kita mampu melunaskannya.  Jangan pula kita menyalahkan takdirSetiap yang Allah tentukan pasti ada hikmah yang tersurat dan tersirat. Allah telah berjanji tidak akan menguji manusia di luar kemampuan. Menyalahkan hanya memudaratkan.

Nasyid Semakin Positif



Dakwah merupakan satu kewajipan. Ia satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap manusia yang bergelar muslim. Dakwah juga memerlukan kreativiti. Kita perlu kreatif dalam menyebarkan dakwah dan syiar Islam. Kita perlu menggunakan platform dan medium yang sesuai dengan peredaran zaman


Antara cara yang banyak digunakan ialah melalui muzik. Ini terbukti dengan kehadiran artis artis nasyid yang terkenal seperti Maher Zain, Sami Yusuf,Yusof Islam dan lain lain. Maher Zain popular dengan lagunya Insyaallah dan Sami Yusuf dengan lagu al mu'allim. Mereka membuktikan nasyid juga mampu bersaing dengan lagu lagu yang bergenre lain.


Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melahirkan penyanyi nasyid yang terkenal seperti Raihan dan Rabbani serta banyak lagi. Melalui lagu, mereka menyampaikan mesej mesej dakwah. Sebenarnya banyak lagi penyanyi nasyid di luar negara yang tidak berapa terkenal. Antaranya ialah 3ilm, D-Clique dan SOA(Soldier of Allah) Ada yang bergenre rap dan pop. 


Anda boleh layari http://muslimhiphop.com untuk mengenali lebih banyak artis luar negara. 
Saya juga pernah menonton nasyid bergenre k-pop. Ini satu cubaan yang baik dalam mengaplikasikan k-pop ke arah kebaikan. Fenomena k-pop amat meluas di Malaysia dan seluruh negara. Mungkin juga pendengar akan tertarik dengan lagu seumpama ini. Tujuannya sama sahaja tetapi mengaplikasikan cara yang berbeza.

Jika kita ada akademi fantasia, kita juga perlu ada akademi nasyid seperti yang dilakukan TV9. Kita perlu mengembangkan genre nasyid yang pernah popular satu masa dahulu. Genre nasyid perlu diperluaskan agar ia diminati dan disukai terutamanya anak anak muda. Jika kena pada cara dan tempatnya, Insyaalah matlamatnya akan tercapai. 





Dakwah perlukan perubahan. Perubahan mengikut peredaran zaman dan perkembangan teknologi. Internet juga mampu dijadikan medium yang sesuai dalam arena dakwah jika dapat diimplementasikan dengan betul. Yang penting kita mesti kreatif. Barulah mesej yang ingin disampaikan terlaksana.

RUANG ILMIAH - Indahnya Hidup Bersyariat




Isi buku Indahnya Hidup Bersyariat ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum hakam muamalat (jual beli), munakahat (nikah kahwin dan rumah tangga) serta amalan zikir, doa dan adab, Semua ilmu bersumberkan Al Quran dan hadis sahih


Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jadual dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan step by step. Media fotografi warna penuh digunakan untuk menunjukkan perkara yang realistik


Buku ini seharusnya menjadi kewajipan untuk dimiliki oleh setiap rumah, pusat sumber, sekolah dan individu.


Biodata Penulis


Datuk Ustaz Ismail Kamus lahir pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu SelangorPada 22 November 2011, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2011 Peringkat Negeri Selangor. Sumbangannya besar dalam menyebarkan syiar Islam. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selain bertugas 15 tahun di Jawi. Kini perunding motivasi dan pendakwah bebas di samping menjadi ahli perniagaan dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.


Mohd Azrul Azlen Abd. Hamid dilahirkan di Kedah pada tahun 1991. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Meneruskan pengajian dengan ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab di UIAM. Beliau sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di Pusat Matrikulasi, UIAM

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara






Semua orang ada matlamat mereka sendiri. Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, masih kecil atau yang sudah dewasa. Mereka semua pasti memiliki matlamat dalam hidup mereka sendiri. Matlamat mereka pula tidak semuanya sama. Semua orang ada akal dan nafsu yang berbeza beza. Jadi tidak hairanlah jika matlamat mereka semua mungkin berlainan dengan orang lain.


Justeru, semua orang ada hak untuk mempunyai matlamat mereka sendiri. Mereka juga ada hak untuk berkongsi matlamat mereka atau sekadar menjadi rahsia peribadi. Mereka ada hak dan itu adalah hak mereka. 


Yang ingin ditegaskan di sini adalah bagaimana cara kita untuk menjayakan matlamat kita. Tidak kiralah sebesar mana pun matlamat kita, yang penting bagaimana cara kita untuk merealisasikannya. Dengan cara yang betul atau sebaliknya. Bagaimana? Itulah yang menjadi tanda tanya dan persoalan utamanya.  


Misalnya dalam konteks mencari rezeki atau bekerja. Mencari rezeki adalah satu matlamat yang baik. Kita disuruh bekerja untuk menyara diri dan meneruskan kehidupan. Tetapi bukan mencari rezeki dengan cara yang salah dan haram seperti melacur diri, mengedar dadah, menipu dan merompak. Matlamat itu satu perkara yang mulia tetapi tidak pada perbuatannya. Menyelamatkan diri dengan berselindung kononnya mencari rezeki.








Inilah yang dilarang oleh Islam. Islam tidak melarang kita mencari rezeki. Tetapi Islam bertegas jika cara yang digunakan salah dan haram di sisi agama. Apa yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Bagaimana jika makan dengan sumber yang tidak jelas. Duit yang haram ! Ia akan mempengaruhi diri dan personaliti diri kita. Jika apa yang kita makan daripada sumber yang baik, insyaAllah baiklah kita. Tapi jika makanan itu berasal daripada sumber yang haram, itulah yang akan berlaku sebaliknya. 


Banyak lagi pekerjaan halal yang ada. Kita diberikan akal untuk menentukan dan memilih mana yang baik dan buruk. Jangan melakukan kemungkaran di atas nama kebaikan. Perkara yang hak tidak boleh bersekongkol dengan perkara yang batil. Tidak boleh ada kompromi dan toleransi dengan kejahatan. Jika halal bercampur dengan haram jadilah "halam". Perkara yang syubhah dan ragu ragu. Sedangkan halal tidak boleh sama sekali bergandingan dengan yang haram.


Peganglah kepada prinsip ini, "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara". Tidak dan sesekali tidak. Matlamat yang baik perlulah disusuli dengan cara dan tindakan yang baik. Matlamat yang baik bukanlah tiket untuk kita melakukan cara dan tindakan yang buruk. Melakukan perkara yang buruk dan jahat kononnya atas nama kebaikan dan keadilan. Yang salah tetap salah. Berfikirlah dahulu sebelum bertindak.