Wednesday 14 March 2012

HAMBA - Praktiskan ' FiZikr ' Dalam Kehidupan








Fizikr adalah gabungan daripada dua perkataan iaitu fikir dan zikir. Hidup sebagai seorang muslim mestilah selalu dipenuhi dengan berfikir sambil berzikir. Di dalam Al Quran, Allah telah banyak kali menempelak manusia. Apakah kamu tidak berfikir?, apakah kamu tidak melihat?, apakah kamu tidak mendengar? dan sebagainya.


Siapakah yang telah menciptakan bumi sebagai tempat tinggal, langit tanpa tiang dan awan tergantung tidak bertali? Sudah pasti jawapannya adalah Allah SWT. Manusia juga telah diciptakan oleh Allah dengan sebaik baik kejadian. Sesuai dengan sifat Allah yang Maha Mencipta segala galanya. Namun, ada juga sesetengah golongan yang tidak memperakui kewujudan Tuhan iaitu golongan ateis. Fahaman komunisme yang telah diasaskan oleh Karl Max, juga menerapkan fahaman ateis, tidak percaya akan wujudnya Tuhan. 


Jika difikirkan semula, mustahil alam ini dicipta tanpa Tuhan. Bumi telah berputar dan beredar pada paksinya. Terbit dan terbenamnya matahari juga berlaku pada waktunya. Bulan pula menyinari di waktu malam menjelma. Sistem alam ini amat teratur. Pasti ada pencipta di sebalik setiap ciptaan. Tidak mungkin ia satu kebetulan yang disengajakan. 


Betapa lemah dan kerdilnya manusia jika mahu dibandingkan dengan keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Subhanallah! Haiwan sekecil semut pun tidak mampu dicipta oleh manusia. Bahkan, manusia pula mendapat manfaat daripada haiwan sekecil semut. Allah s.w.t. Maha Mengetahui dan sudah pasti apa yang dicipta oleh Allah mempunyai asbab dan hikmahnya. 


Berfikir pula perlu dihubungkan dengan zikr ataupun zikir. Ia membawa makna mengingati. Mungkin kita menganggap zikir itu sekadar melafazkan takbir, tahmid dan sebagainya sahaja. Ataupun duduk di masjid dan surau sambil memegang tasbih.Sebenarnya, zikir bukan hanya tertakluk pada kalimah zikir (seperti subhanaalah dan alhamdulillah), malah skopnya lebih luas. Zikir ialah perkara yang boleh membuatkan diri kita lebih dekat (taqarrub) dengan Tuhan yakni Allah swt. Misalnya, berfikir tentang mati. Ia pasti akan menginsafkan diri kita bahawa mati itu satu kepastian dan semua yang hidup pasti akan mati kecuali Allah. Justeru, fikir amat perlu dihubungkan dengan zikir. 


Dalam membentuk diri ke arah seorang muslim yang sempurna, perbanyakkanlah amalan fizikr iaitu fikir dan zikir. Moga diri kita lebih dekat dengan rahmat dan redanya. Semoga kita menjadi muslim yang sempurna untuk agama yang sempurna. Wallahu'alam. 
  

Saturday 10 March 2012

ERTI - Ibu Bapa, Anak dan Saham






Bagi ibu dan bapa, proses membesarkan anak bukan perkara yang mudah. Dari kecil hingga ke dewasa, ibu bapa telah banyak berkorban. Semuanya dilakukan demi anak sebagai harapan keluarga. Anak pula perlu sedar akan tanggungjawab mereka dan bersedia memikul tanggungjawab dan harapan ibu bapa.

Soal duit ibu bapa telah banyak berkorban. Pakaian, makanan, susu, lampin, yuran sekolah dan macam macam lagi. Itu tidak termasuk dengan alat permainan dan perkara sampingan. Semuanya memerlukan duit. Tetapi duit bukanlah segala galanya kerana soal kasih sayang duit tiada jawapannya.

Pendek kata, wang telah banyak dilaburkan untuk anak. Satu pelaburan jangka masa panjang agar dapat menuai hasil di hujungnya. Ia umpama saham. Turun dan naiknya saham tersebut semuanya bergantung kepada anak. 

Anak anak, kini giliran anda pula untuk membalas segala pengorbanan ibu bapa. Perintah berbuat baik terhadap mereka adalah yang kedua selepas perintah beribadah kepada Allah selaras dengan firman Allah dalam surah Al Isra' ayat 23.

Adakah anda mahu membazirkan duit ibu dan bapa anda? Koreksilah diri. Jadilah anak yang soleh dan solehah. Semoga apa yang anda lakukan dapat menggembirakan ibu dan bapa.