Monday 22 December 2014

ERTI - Mengintai Ruang Keberkatan



Zaman persekolahan benar-benar mendidik diri ini betapa tingginya nilai keberkatan ilmu. Lebih-lebih lagi ia datang daripada guru yang telah berpenat lelah mendidik aku. Sejujurnya, bukan mudah untuk menjaga hati mereka semua sama ada yang mengajar, pernah mengajar mahupun yang tidak pernah mengajar. Memang begitu hati manusia. Bukan kuasa kita untuk menentukannya.

Sensitiviti para guru yang tinggi menyebabkan segala tindakan aku dan rakan rakan diperhalusi. Daripada perkara yang besar hinggalah perkara yang remeh kesemuanya diperhati. Akhirnya, dua pandangan biasa yang sering didengar adalah setuju dan sebaliknya. 

Huhh... menuntut ilmu bukan perkara yang mudah. Lima tahun berkelana di Sek Men Agama (SMA) seakan menghuni galaksi asing. Nilai dan martabatnya yang tinggi memberi erti yang cukup mendalam dan aku benar-benar terkesan.

Kembara aku si penuntut ilmu tidak semudah yang disangka. Tekanan yang menghimpit, jadual padat yang membebankan, kerja sekolah yang bertimbun sudah tentu memenatkan. Namun, menggenggam segulung ijazah keberkatan itu lebih memeritkan. Berpenat lelah selama ini bagaikan mimpi andainya keberkatan itu gagal dimiliki.

Pernah sekali aku merungut. Kenapa guru-guru begitu bersungguh sungguh menghalang itu dan ini. Biarkan sahajalah aku buat apa yang aku mahu. Aku betul-betul yakin bahawa zaman remaja mereka juga pasti serupa dengan apa yang aku alami. Mereka turut rasai dan lalui. Yang diminta hanyalah sedikit kebebasan. Aku bukan minta yang bukan-bukan. 

Cuma... mungkin aku sahaja yang tidak pernah mengerti.


Kerana perasaan seorang murabbi itu bukan sekadar mengajar tetapi yang jauh lebih mustahak ialah mendidik. Zahirnya nampak sama, namun pada hakikatnya mengajar hanya tertakluk pada silibus pengajaran.

Namun, bila sebut soal mendidik, ia lebih menjurus kepada akhlak dan budi dalam diri setiap pelajar. Hal itu jauh lebih penting sebenar benarnya. Inilah pesanan Hamka kepada semua pendidik di luar sana.

Kepada semua guru, terima kasih atas segalanya, Andai diri ini tidak lagi bertemu denganmu, aku akan tetap berusaha sedaya mungkin untuk terus mengamalkan ilmu yang telah dicurahkan. 

Setiap pertemuan pasti disudahi dengan perpisahan. Tiada salahnya menjalinkan hubungan silaturrahim walaupun nilai perpisahan itu perit. Tetapi aku yakin, ilmumu akan sentiasa menjadi wasilah( penghubung) kepada perhubungan murni ini. Semoga kita semua diredhai Allah.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.