Monday 1 April 2013

ISU - Aib, Biar Terhijab Jangan Disingkap





Hairan juga melihat sesetengah orang tidak segan menceritakan keburukan sendiri. Tidak malukah mereka berkongsi aib dengan orang lain?. Walaupun tidak pernah ditanya, mereka tanpa segan silu bercerita. Tanpa mereka sedari, mereka dengan rela telah membuka aib mereka yang telah Allah tutupi. Tetapi sayangnya, mereka sendiri yang membukanya. Pelik


Hari ini lebih ramai orang berbangga dengan kejahatan yang pernah dilakukan berbanding kebaikan. Memanglah kebaikan itu tidak boleh dibangga bangga, namun berbangga dengan kejahatan lebih menghairankan. 

" Kau tahu tak dulu aku pernah.... "

" Itu baru sikit. Masa sekolah dulu aku pernah.... "

Aku pernah buat itu dan ini. Macam macam lagi aku pernah buat.

Ya, memang tidak salah bercerita pengalaman lalu. Tetapi kita perlulah pandai menapis cerita. Jangan sampai aib pun dikongsi. Tiada gunanya.

Aib biar terhijab. 

Kita perlu bersyukur kerana banyaknya aib kita telah Allah lindungi. Dari pagi hingga ke petang dan beransur ke malam, kita pasti tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesalahan. Maka perbanyakkanlah doa agar diri kita dilindungi, aib kita ditutupi. 

Aib sendiri tidak perlu dikongsi. Biarlah kita dan Allah sahaja yang mengetahuinya.

Aib jangan disingkap. 

Kadang kadang kita telah berusaha menutup aib kita. Tetapi ada juga segelintir manusia yang sengaja mencari keaiban orang lain. Lebih memalukan cerita itu pula disebarkan ke televisyen. "Biasalah, kami kan wartawan" atau "Kami cuma melakukan kerja kami" adalah jawapan biasa yang diberi. Tidak sedarkah mereka kerjaya tersebut hanyalah mengumpul dosa semata.

Semata mata mahu mendapatkan 'rating' yang tinggi, rancangan rancangan hiburan diwujudkan. Boleh dikatakan setiap siaran televisyen perlulah memiliki sekurang kurangnya satu rancangan yang membongkar keaiban orang.

Akhir kata,

Renungilah sabda Rasulullah mafhumnya, 'siapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan menutup aib dirinya di akhirat kelak'

Tidak mahukah kita merebut ganjaran tersebut. Pasti banyak aib kita yang perlu dilindungi. Justeru, tutuplah aib saudaramu moga moga  Allah akan menutup pula aibmu di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.