Tuesday 12 February 2013

JOM! - Suburkan Rasa Cinta Terhadap Baginda



Sehingga ke detik menanti wafat, Baginda masih mengingati kita sebagai umatnya. Namun begitu, kita yang waktu hidup ini pun susah betul nak mengingati Baginda. 


Entah mengapa, kata cinta tapi tidak seperti orang bercinta. Sunnah sunnah nabi payah betul nak diamalkan. Apa yang nabi suka, kita tidak pernah nak ambil tahu. Apa pula yang nabi larang lagilah kita buat tak tahu. Jika beginilah cara kita membalas cinta Baginda, bagaimana mahu mendapatkan syafaatnya?

Maulidur rasul di Malaysia selalu meriah. Perarakan, ceramah, tazkirah dan qasidah merupakan perkara biasa meraikan sambutan mulia ini. Waktu beginilah kisah kisah nabi menjadi topik perkongsian ilmu. Semangat cintakan nabi kembali dinyalakan setelah agak lama samar samar cahayanya.

Baginda merupakan ikon terbaik sepanjang zaman. Walaupun dakwah Baginda menerima variasi tentangan, Baginda tidak pernah berputus asa, Walaupun memegang pelbagai jawatan tertinggi, Baginda masih mampu meluangkan masa bersama keluarga. Betapa sukarnya jalan yang Baginda lalui, Baginda tetap teguh kerana Baginda yakin Allah akan sentiasa ada.

Baginda juga memiliki empat sifat yang wajib kita percayai. Siddiq, amanah, tabligh dan fathonah. Kesahihan keempat empat sifat ini terhadap karakter Baginda tidak perlu dipersoal. Pelbagai peristiwa dan kisah telah membuktikannya. Ramai sahabat juga telah menyaksikannya. Kita juga beruntung kerana adanya hadis yang boleh kita amati dan teliti sifat dan keperibadian Baginda. 

Apa salahnya jika kita infakkan sedikit wang untuk membeli kitab kitab hadis, sirah nabi dan apa sahaja yang telah ulama tumpahkan cinta mereka kepada nabi dalam karya mereka. Pembeliannya tidak merugikan kerana beli cuma sekali, tetapi manfaatnya sepanjang hayat. Jika sudah habis baca, kita boleh bertukar tukar dengan kawan kawan.

Kita sepatutnya bersyukur kerana kita umat Nabi Muhammad, umat terbaik. Pelbagai keistimewaan yang kita terima tiada pada umat lain. Bukan memeperkecilkan umat umat terdahulu teapi inilah hakikatnya. Ya Allah, betapa beruntungnya kami menjadi umat Nabi Muhammad.

Cinta yang disemai pada maulidur rasul ini perlulah berterusan sampai bila bila. Tidak boleh cintai Baginda berwaktu tetapi, mestilah cintai Baginda selalu. Marilah bersama kita suburkan rasa cinta terhadap Baginda dengan baja keimanan, kelak mendapat hasil syafaat di hari perhitungan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.