Idea untuk saya menulis kali ini timbul dan muncul setelah saya membaca salah satu artikel di Majalah Solusi. Ketika diri hanyut dalam pembacaan, tiba tiba hati saya terasa seolah olah disentap. Bukan kerana takut mahupun terkejut. Tetapi sebenarnya hati saya tertarik dengan satu perkataan yang digunakan oleh penulis iaitu "simbiosis"
Daripada apa yang saya pelajari dan ingat, simbiosis sebenarnya adalah salah satu di antara cara organisme berinteraksi - Interaction of Living Organisms - mata pelajaran Sains tingkatan dua.
Simbiosis terbahagi kepada tiga iaitu parasitisme, mutualisme dan komensalisme. Topik yang akan saya ketengahkan ialah "mutualisme". Ia satu hubungan di mana kedua duanya saling memberi manfaat di antara satu sama lain.
Mungkin anda tertanya tanya, apa kaitannya mutualisme ini dalam kehidupan manusia? Nampak macam tak ada kena mengena je? Hmm... memang tak ada kena mengena pun secara dasarnya. Tetapi sebenarnya saya cuma mahu mengaplikasikan sahaja fungsi mutualisme dengan manusia. Pada pandangan saya, fungsi mutualisme amat penting untuk diterapkan dalam kehidupan manusia.
Jika diselami maksud mutualisme seperti yang saya nyatakan tadi, ia sebenarnya mementingkan penerapan nilai nilai yang murni dan positif. Sememangnya lahiriah manusia untuk hidup saling bergantungan. Manusia memang sukar untuk hidup sendiri tanpa bantuan daripada orang sekeliling.
Ibu bapa, saudara mara, keluarga, kawan dan sahabat serta masyarakat. Inilah antara orang yang berada di sekeliling kita. Tidak kira tua, muda, kaya atau miskin. Perbezaan kaum mahupun berbeza warna kulit. Kesemuanya sama. Kita memerlukan mereka dan mereka juga memerlukan kita. Sejujurnya kita saling memerlukan antara satu sama lain sebagai pelengkap kehidupan.
Zaman dahulu telah membuktikan. Allah SWT telah menciptakan Hawa bagi menemani Adam yang kesunyian. Rasulullah SAW dan sahabat sahabatnya pula bersama sama berjuang menegakkan Islam. Zaman sekarang pula meneruskan. Lihatlah presiden presiden, perdana menteri, menteri besar hinggalah ke ketua kampung sekarang. Mereka juga tidak keseorangan. Mereka ada orang di yang saling bekerjasama membantu mereka. Kerjasama yang dibina bersama akan menjadi nadi ke arah memacu kejayaan.
Syaitan lebih suka jika kita bersendirian. Kerja mereka lebih mudah dan senang. Tak percaya? Kerja syaitan untuk menghasut anak Adam lebih mudah jika kita dalam keadaan bersendirian. Kita rasa lebih takut untuk melakukan maksiat jika ramai orang di sekeliling kita. Pasti rasa takut dan malu akan menguasai diri untuk menundukkan hawa nafsu.
Tetapi ia sukar sekali jika kita bersendirian dan keseorangan. Hawa nafsu dengan mudahnya berjaya mengikis rasa takut dan malu. Akhirnya maksiat lebih mudah berlaku. Ia disebabkan diri kita rasa bebas. Bebas daripada sebarang pengawasan dan perhatian. Tetapi kita lupa sebenarnya kita sering diperhatikan. Malaikat Rakib dan Atid pula setia mencatat amalan baik dan buruk di kiri dan kanan.
Itulah pentingnya mutualisme dalam kehidupan kita. Kita dan orang di sekeliling perlu saling memberi manfaat antara satu sama lain. Kita saling tegur menegur, saling tolong menolong, saling bertolak ansur dan saling memahami. Kita bukan hanya mengharapkan orang lain, tetapi kita juga perlu sedaya upaya memenuhi harapan orang lain. Dan akhirnya akan terbentuknya satu kelompok masyarakat mutualisme.



No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.