Siapa mahukan dunia, perlu ada ilmu. Siapa yang mahukan akhirat juga perlu ada ilmu. Jika mahukan kedua duanya, perlu ada ilmu. Bila berbicara tentang ilmu, pasti terdetik di hati kita untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Lebih manis jika belajar di luar negara. Pasti mencabar dan sukar!
Merantau di negara orang sudah tentu bukan mudah. Rasa sedih dan gembira bercampur baur mencetuskan status sebenar hati dan perasaan.
Kita terus dihimpit kesunyian apabila terpaksa berjauhan daripada perhatian insan tersayang ibu dan bapa. Tetapi itu tidak bermakna kita terlepas daripada perhatian Allah SWT. Dia Maha Melihat. Tiada guna kita lari bersembunyi, kerana kita sentiasa diperhati!
Ilmu itu penting. Ia sebagai penyuluh kehidupan. Islam menyuruh agar umatnya menuntut ilmu. Rasulullah SAW pernah bersabda mafhumnya :
"Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap muslim"
Sudah terang lagi bersuluh. Menuntut ilmu satu kewajipan. Dan salah satu cara menuntut ilmu adalah dengan belajar. Belajar tidak semestinya di sekolah. Di mana mana sahaja kita boleh belajar. Tidak semestinya daripada golongan ilmuwan. Kita juga boleh belajar daripada kawan dan pengalaman. Asalkan ilmu yang dipelajari tidak salah dan terpesong di sisi agama Islam.
Ingin diingatkan agar jangan pernah kita rasa ilmu kita sudah cukup. Ingatlah, ilmu Allah Taala itu luas. Tidak terhad dan tidak terbatas.
Jangan juga kita berhenti belajar. Sehingga mata belum tertutup, teruskan usaha kita meneroka seberapa banyak ilmu. Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa darjat. Curilah peluang yang terhidang selagi ajal belum menjelang. Agar
kita sama sama tergolong dalam golongan yang diangkat darjatnya di sisi Allah SWT.



No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.