Sunday, 18 December 2011
"D.U.I.T." RESIPI KEJAYAAN
"Usaha tangga kejayaan" Pepatah ini amat sinonim dengan rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu. Pepatah ini juga dijadikan prinsip hidup dalam diri bagi sesetengah manusia. Ya betul, kejayaan tidak akan dapat dicapai jika tidak disusuli dengan usaha. Ia umpama kereta. Jika enjinnya tidak dihidupkan, kereta tersebut tidak akan bergerak.
Tetapi adakah dengan usaha sahaja sudah memadai untuk kita menggapai kejayaan? Sebenarnya tidak semudah itu. Saya teringat kata kata ustaz saya dahulu. Kalau nak berjaya kita perlu mengguna pakai satu resepi. Resipinya ringkas tetapi tidak semudah yang disangka. Resipi itu adalah D.U.I.T. Saya namakan resepi ini resepi kejayaan.
1. D = Doa
Allah juga berfirman maksudnya, dan Tuhanmu berfirman berdoalah kepadaku nescaya akan aku perkenankan. Alllah adalah satu satunya tempat kita memohon dan meminta. Tiada guna meminta kepada jin dan syaitan. Mereka juga makhluk Allah. Perbuatan seumpama ini adalah syirik. Dan syirik itu satu dosa besar.
Senjata utama umat Islam adalah doa. Bukannya senapang AK-47 ataupun pistol KM .45 Tactical. Dan ibu kepada segala doa adalah solat. Ramai orang berusaha tetapi lupa akan urusan agama iaitu solat. Hal ehwal solat dianggap remeh. Solat itu satu kewajipan tetapi hanya dianggap permainan. Mengaku diri Islam tetapi tidak melaksanakan apa yang diperintahkan.
Kita tidak sedar solat adalah kunci utama kita untuk memohon dan meminta. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud, dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Jika permintaan kita tidak termakbul, jangan kita cepat melatah dan berputus asa atau menyalahkan Allah. Sabar itu penting dalam memohon dan meminta sesuatu. Nescaya ada hikmah disebaliknya.
2. U = Usaha
Tidak perlu saya mengulas lanjut mengenai usaha. Seperti kita maklum, usaha amat penting dalam melakukan sesuatu. Meskipun doa adalah senjata utama, tetapi tidak boleh juga jika tidak diiringi dengan usaha. Seperti pepatah Arab, siapa yang berusaha dia akan berjaya, siapa yang menanam dia akan mendapat hasilnya.
Usaha yang dilakukan secara istiqamah adalah penting. Saya pernah mendengar orang berkata, Allah tidak melihat kepada hasilnya tetapi menilai daripada usaha kita. Kita mestilah memasakkan di hati kita sifat ikhlas dalam berusaha dan segalanya lillahi taala. Kerana Allah Taala
3. I = Ikhtiar
Selepas kita berusaha kita juga boleh berikhtiar dengan cara lain. Antaranya dengan menemui orang yang mahir dalam bidang tersebut ataupun membaca buku buku yang boleh dijadikan bahan rujukan. Tetapi kita juga dilarang membaca tanpa merujuk guru. Takut takut kita kurang faham atau tersalah tafsir sehingga kita melakukan kesilapan dalam bertindak.
Selain itu, kita juga boleh menyertai program program yang bersesuaian. Misalnya pelajar. kem kem motivasi adalah di antara modul program yang baik. Program program seperti ini sangat bagus dan dapat membantu memperbaiki kelemahan dan kekurangan.
Kawan saya juga ada berkongsi rahsianya iaitu tidak kedekut ilmu. Banyak mengajar orang lain tidak merugikan bahkan membantu dalam proses hafalan dan pemahaman. Jangan kita kedekut ilmu kerana di antara ciri ciri orang yang berimu ialah menyebarkan ilmunya.
4. T = Tawakal
Ini adalah proses terakhir setelah kita berusaha, ikhtiar dan berdoa. Sebagai manusia biasa kita tiada kuasa untuk berbuat apa apa. Kesemuanya di bawah kekuasaan Allah. Jika Allah mengizinkan, alhamdulillah tetapi jika tidak itu hak Allah. Pasti ada hikmah yang tersurat mahupun tersirat pada setiap kejadian yang berlaku.
Inilah resipi kejayaan yang pernah ustaz saya ungkapkan dahulu. Walaupun begitu, saya mengakui agak sukar kita melakukannya dengan istiqamah. Mencontohi lebih mudah daripada mengamalkannya. Setakat ini sahaja daripada saya. Selamat mencuba!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.