Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Ilmu adalah aset yang paling penting dalam kehidupan. Tanpa ilmu kita akan mudah ditipu dan diperdaya. Tipu muslihat dunia dan syaitan sangat berbisa. Mereka adalah ejen penipuan terbesar sebagai ujian kepada umat Muhammad.
Tidak diciptakan manusia kecuali untuk beribadah kepadaNya. Kepada Allah jualah kita beribadah dan memohon pertolongan. Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Sabar itu satu kekuatan, solat pula satu kewajipan.
Beribadah juga memerlukan ilmu. Bagaimana kita mahu beribadah jika tiada ilmu? Tetapi jika ada ilmu perlulah kita amalkan selagi ilmu itu tidak melanggar syariat. Pepatah Arab ada menyebut, ilmu tanpa amal umpama pohon yang tidak berbuah. Pohonnya ada tetapi tidak dibaja. Bagaimana mahu menghasilkan buah? Sama juga seperti ilmu. Ilmunya sudah ada tetapi tidak diamalkan. Kini sudah terbukti, ilmu sangat penting untuk dimiliki.
Pernahkah kita terfikir bagaimana jika hilangnya ilmu? Bagaimana pula ia hilang?
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu daripada hambanya. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan kematian para ulama' sehingga tidak ada lagi alim ulama. Lalu manusia memilih orang orang jahil sebagai ketua. Apabila ditanya (mengenai agama) mereka memberi fatwa tanpa memiliki ilmu, maka mereka menyesatkan dirinya dan orang lain.
Hadis di atas menjelaskan kepada kita, ilmu itu tidak dicabut daripada dada dan hati manusia.
Ilmu itu dicabut dengan kematian ulama. Pemergian 'ulama bukan sahaja meninggalkan jasa dan baktinya. Pemergian mereka memberi satu makna dan petanda. Petanda bahawa ilmu manusia semakin hilang dan berkurangan.
Kita juga ditegah memilih orang jahil sebagai ketua. Ketua adalah pemimpin. Dan pemimpin pula perlu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya. Ia bukan sekadar jawatan yang boleh dipermainkan dan diperolok olokkan. Ia satu amanah yang berat dan akan disoal di akhirat kelak.
Bagaimana orang yang jahil boleh menjadi ketua? Apabila ditanya, mereka akan memberi jawapan tanpa ilmu. Lebih lebih lagi mengenai hukum hukum agama. Hukum dalam agama adalah berdasarkan dalil dan nas yang tertentu. Sesuatu hukum tidak boleh ditentukan sewenang wenangnya mengikut nafsu dan pemikiran sendiri. Dan tanpa mereka sedari, mereka telah menyesatkan diri mereka sendiri dan orang lain
Memberi fatwa tanpa ilmu adalah salah di sisi agama. Lebih baik katakan tidak tahu daripada menipu. Menipu orang lain sama sahaja seperti menipu diri sendiri. Sedangkan menipu atau berdusta itu adalah ciri ciri orang munafik yang hidup dalam kepura puraan. Mereka mengaku Islam, tetapi hakikatnya hanya dia dan yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu.
Akhir kata, segala galanya memerlukan ilmu. Ilmu Allah Taala itu luas. Tidak terhad dan tidak terbatas. Pelbagai ilmu boleh dipelajari. Belajar pula tidak mengenal usia. Selagi nyawa dikandung badan, tuntutlah ilmu tanpa rasa bosan. Ilmu wahyu, ilmu pertahankan diri, ilmu pertukangan, ilmu kepimpinan dan banyak lagi.


No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.