Monday, 2 January 2012
Ciri Ciri Orang Munafik
Sabda Nabi SAW mafhumnya, " tanda tanda orang munafik ada tiga. Apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah dia khianati ". Mungkin perlakuan ini dipandang remeh, tapi inilah hakikatnya. Ini adalah tiga ciri ciri orang munafik.
Berkata tapi berdusta
Bak kata iklan Maggi, soal hati lidah boleh menipu. Tapi soal rasa, lidah tak boleh menipu. Persoalannya kenapa kita nak menipu? Sedangkan menipu orang lain sama sahaja seperti menipu diri sendiri. Kita tahu akan kebenarannya tapi kita cuba menyembunyikannya. Pelik bukan, tapi inilah realitinya.
Menipu kadangkala dipengaruhi oleh situasi, keadaan dan orang sekeliling. Kita menipu kerana kita takut atau malu. Takut atau malu untuk mengaku kesalahan setelah melakukannya.
Walau bagaimanapun elakkanlah diri daripada menipu. Permulaannya menipu kemudian macam macam boleh berlaku.
Pantun orang melayu ada menyebut, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama lama mencuri. Bukan setakat itu saja, menipu juga boleh menimbulkan macam macam lagi. Antaranya pergaduhan, permusuhan dan banyak lagi perkara yang tidak diingini. Saya teringat satu pepatah Arab, berkatalah benar walaupun pahit. Di sebalik pahit tersebut mungkin ada madu yang tersembunyi.
Berjanji tapi mungkiri,
" Apa guna berjanji...kalau tak ditepati...kelak meracun hati...tuan sendiri menggigit jari " Teringat saya lagu nyanyian Saloma. Berjanji memang mudah. Tapi dalam bab menepati janji, ia tak semudah kita berjanji. Mudahnya berjanji, sukarnya menepati.Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 1: " Wahai orang orang yang beriman, penuhilah aqad aqad itu "
Aqad atau perjanjian itu mencakupi janji hamba kepada tuhannya dan janji sesama manusia. Menepati janji adalah akhlak yang mulia. Jadi tidak hairanlah ia merupakan akhlak para nabi. Di dalam surah Maryam ayat 54 Allah berfirman : " Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam Al Quran ". Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.
Berhati hati dalam menabur janji. Elakkan berjanji kalau tidak yakin mampu ditepati. Latihlah diri untuk tidak kekok menyebut InsyaAllah. Yang bermaksud dengan keizinan Allah. Segala galanya tertakluk di bawah kekuasaan Allah. Jika kita merancang, Allah juga merancang. dan Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba hambanya.
Diberi amanah tapi dikhianati,
Amanah merupakan satu tanggungjawab. Memikulnya pula merupakan satu perkara yang mudah. Ia bukan perkara yang boleh dibuat acuh tak acuh. Endah tak endah dan dipandang enteng. Kita akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak tentang amanah yang diberi.
Sejak kita lahir lagi, kita telah memikul satu amanah yang berat sehingga dalam Al Quran diceritakan bahawa langit, bumi dan gunung ganang tidak sanggup untuk memikulnya kerana khuatir akan mengkhianatinya. Lalu amanah ini dipikul oleh manusia. Amanah Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Mengerjakan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang ditegah.
Tunaikanlah amanah yang diberi sebaik mungkin. Kita perlu yakin yang kita mampu melunaskannya. Jangan pula kita menyalahkan takdir. Setiap yang Allah tentukan pasti ada hikmah yang tersurat dan tersirat. Allah telah berjanji tidak akan menguji manusia di luar kemampuan. Menyalahkan hanya memudaratkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.