Monday, 19 November 2012

BICARA - Solat Perkara Mustahak





'Kejaplah mak, mengantuklah!'

'Kau pergilah dulu nanti aku datang!'

'Awal lagilah, Isyak kan sampai esok pagi!'




Begitulah senario yang acap kali berlaku sebaik sahaja azan dilaungkan. Pelbagai keluhan dan alasan yang sengaja dicipta. tujuannya hanyalah untuk 'melarikan diri' daripada menunaikan tanggungjawab sebagai individu yang menjawat posisi Muslim dan Muslimah dalam kerjaya seorang khalifah di muka bumi Allah ini.

Posisi tersebut bukan perkara yang boleh dianggap remeh temeh. Tugas dan tanggungjawab ini perlu dilaksanakan, bukan diabaikan. Fenomena hari ini, Islam itu hanyalah sekadar catatan pada kad pengenalan, sijil kelahiran serta segala dokumen yang memerlukan butiran berkaitan agama seseorang individu tersebut. Agama suci ini tidak lagi diamalkan. Kita lebih gemar mengikut telunjuk agama selain Islam. Kita juga lebih berminat mengadaptasikan gaya hidup yang diguna pakai oleh masyarakat bukan Islam yang jelas bertentangan dengan syariat agama Islam. 

Berbalik kepada isu solat, ramai yang menganggap solat satu hal yang remeh. Solat dilihat sebagai bebanan yang betul betul menyusahkan. Ada juga yang beranggapan solat tidak lagi relevan dan sudah ketinggalan zaman. 

Kita sanggup melewat lewatkan solat hanya kerana urusan duniawi. Solat Isyak ditunaikan selepas perlawanan bola sepak tamat dimainkan. Solat Jumaat pula kadang kadang ditinggalkan kerana ada urusan kerja yang belum selesai. Sampai begitu sekali layanan kita kepada Allah yang kononnya mahu menggapai redhaNya.

Syariat adalah undang undang yang telah dicipta oleh Allah. Ia bukannya rekaan ilmuwan Islam mahupun ulama fiqh. Solat juga tidak ketinggalan sebagai salah satu syariat Allah kepada kita. Justeru, tindakan meremehkan isu ibadat seperti solat sama sahaja kita memperlekehkan syariat Allah. Secara tidak langsung juga, tanpa kita sedari kita sebenarnya sedang menentang Allah yang telah mencipta kita dan segala galanya sebagai hamba kepadaNya.

Kita perlu sedar bahawa solat itu umpama tiang agama. Lantaran itu, bagi sesiapa yang mengabaikan solat maka bererti dia telah meranapkan tiang agama dalam dirinya. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kita semua sebagai Muslim dan Muslimah.

Sesuai dengan kedudukan solat sebagai amalan pertama yang bakal dihisab, maka ia selayaknya didahulukan dan diutamakan. Akhir kalam, jika solat mampu dititikberatkan dalam kehidupan, dengan izinNya segala urusan bakal dipermudahkan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.