Tidak mungkin?
Masyarakat adijagat ini seolah olah tidak mampu menerima perubahan diri seseorang yang dahulunya adalah mat rempit, pencuri, peminum arak, kaki pukul, pembuli atau apa apa sahaja kejahatan yang dilakukan. Perubahan tersebut dianggap mustahil dan tidak mungkin.
"Kalaulah jahat, sampai bila bila pun jahat. Takkan berubah"
"Berubah? Berlakon je tu"
"Tak payah nak mimpilah kau nak berubah. Kau tu memang jahat!"
Begitulah antara persepsi buruk yang sering menghinggap kepada pelaku pelaku kejahatan ini. Mungkin dendam lama membuatkan masyarakat membenci mereka. Mungkin kejahatan mereka juga sukar untuk dimaafkan
Mereka bakal kekal dipandang hina, jahat dan buruk. Perbuatan mereka pula akan diungkit Masyarakat juga akan membongkar segala sejarah buruk, aib atau memoir hitam yang pernah mereka lakukan. Perkara ini akan membuatkan semua orang membenci mereka. Pintu taubat mereka seakan ditutup sendiri oleh manusia. Tiada belas kasihan
Mustahil?
Segala galanya tidak mustahil. Hidayah itu milik Allah. Ibu bapa, guru, ustaz serta ustazah tidak mampu memberi hidayah. Baginda Rasulullah juga tiada kuasa memberi hidayah kepada umatnya. Jelaslah di sini bahawa hidayah itu kudrat dan iradat Allah.
Jahat jadi baik?
Lihatlah bagaimana Allah mengurniakan hidayahnya kepada Saidina Umar. Beliau amat digeruni ketika menjadi pemimpin kepada kafir quraisy. Suatu hari Rasulullah berdoa agar dikuatkan Islam dengan salah seorang daripada 2 Umar iaitu Umar Al Khattab atau Umar bin Hisyam ( Abu Jahal ). Lalu Allah memilih Umar Al Khattab memeluk agama Islam setelah membaca surah Taha ayat 1 hingga 5.
Persoalannya, adakah mustahil orang yang melakukan dosa dan kejahatan itu berubah?
Tentulah tidak. Saidina Umar yang keras hatinya itu juga berjaya dilentur
Kita perlu sedar dan mengubah corak pemikiran kita. Jangan dihalang orang yang mahu berubah ke arah lebih baik. Adakah salah mereka mahu berubah? Pasti tidak. Bahkan ia amat digalakkan. Lebih ramai lagi orang yang baik, sudah tentu masyarakat Islam hari ini lebih berkualiti.
Memaafkan itu bukankah lebih baik? Bersama kita fikirkan...

No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.